Dicelah-celah pagar kandang, dengan takdir Tuhan, terlihat lah dia sebab musabab kenapa tuannya tak datang menghantar makanan hari ni. Traktor yang ditempah tempoh hari rupanya telah selamat sampai. Perlu dikilat dan diminyak, perlu dipolish dan dibelai. Lebih gagah dan berdaya saing, dibandingkan Traktor dan Keldai Tua jauh bezanya. Keldai Tua kuat merungut, tapi Traktor baru lagi dan masih dalam warranti. Lebih terkesan lagi Petani kelihatan seperti tidak mahu menggunakan lagi kederat Keldai Tua, dan seakan melupakan jasa Keldai Tua, kerana Traktor sudah ada. Mungkin juga tuannya marah kerana Keldai Tua asyik merungut dan membebel sahaja, ditulis pula pada dinding kandang macamlah semuanya serba tidak kena, dan makhluk lain tiada msalah sehebat masalah dirinya. Tidak semena-mena perut Keldai Tua berkeriuk. Berbunyi tanda lapar.
"Ah, lapar perut ni perlu diisi juga, tak kira tuan aku mahu atau tidak, aku perlu makan, dan perlu meragut sendiri diluar kandang." Rungut Keldai Tua, seperti biasa.
Merasakan tidak mampu membendung kelaparannya, dan tidak lagi sabar menunggu tuannya menyuap makanan, Keldai Tua meragut sendiri rumput di luar kandang dan di sekelilingnya, sekadar meragut rumput yang mampu dicapai dan ditelan sahaja.
Mungkin rumput berdekatan tidak berapa sedap, beliau membebel, lagak selayaknya sebagai seekor Keldai Tua. Tiba2, Keldai Tua terkenang kata Lembu Tua Betul tentang ada sebuah kawasan sekitar sebuah Perigi Buta di padang rumput itu yang rumputnya hijau menyegar, dan rasanya sedap tak terkata. Keldai Tua lantas bergegas ke situ sambil beberapa kali menelan air liur, kerana membayangkan kelazatan rumput di kawasan perigi itu. Bagaimanapun mulutnya masih tidak berhenti merungut dan membebel, seperti biasa. Marahkan rumput, marahkan tuannya, marahkan keadaan dan suasana yang serba tak kena. Marah juga dia pada Lembu Tua Betul kerana pernah sampai ke situ, tanpa mengajaknya. Begitulah lumrah Keldai Tua, mudah benar gelisah dan resah seakan hilang punca.
Sesampainya Keldai Tua di situ, dia rakus meragut rumput2 yang memang segar bugar, hinggakan tidak lagi memandang kiri dan kanan, atas dan bawah. Sehinggakan dia lupa ada perigi buta seperti yang diceritakan Lembu Tua Betul disitu. Kambing Tua Juga pernah bercerita, Perigi Buta itulah yang digali Petani lama dahulu. Pernah berguna, baik untuk ternakan mahupun tuannya. Tapi setelah Keldai Tua dan rakan2 ternakannya asyik disuap tuannya dengan dedak, rumput import, garam jilatan dan air dari filter yang mahal, perigi ini tidak lagi dihiraukan, rumput disini pun semakin dilupakan. Malas nak ke situ satu hal, runsing berjemur satu hal. Petani dah suap, buat apa lagi mencari sendiri?
Rupanya, Perigi Buta tahu bersungut dan merungut juga, lantas merajuk, seperti Keldai Tua. Kering dan tidak menakung air lagi, Perigi Buta tidak berdinding ini akhirnya telah dilupakan, tanpa dihirau sesiapa. Leka meragut rumput, Keldai tidak memikirkan lagi keselamatan dirinya, mungkin akibat keenakan rumput di sekeliling perigi, dia lupa dan alpa.
Tiba2, "GEDEBUKKK!!"
Keldai Tua terjatuh ke dalam perigi sehingga sakitlah sekalian tulang temulang dan otot badannya. Apalagi, menjerit lah Keldai Tua kesakitan, berteriaklah Keldai Tua, pasrah mengharap bantuan tuannya, mengharap ditarik keluar dari perigi buta yang dalam dan gelap itu. Dia sudah tua, seringkali dimanja dan disusap, manalah biasa memanjat sendiri. Kederat pun tiada, malas pula berganda2.
Nasib Keldai Tua |
Petani sedang sibuk mengelap dan mengilatkan traktor yang baru dibeli tempoh hari, bagi menggantikan Keldai tuanya yang semakin malas dan tidak lagi kuat bersemangat seperti dahulu. Kerjanya pun membebel dan merungut, menconteng dinding kandang dengan kata nista dan status diri yg kononnya berduka sentiasa. Tidak semena2 terdengar jeritan sumbang, suara seekor keldai, yang seakan lanjut usia. Diamatinya beberapa ketika dan mengamati lolongan minta tolong itu.
Berlari lah dia ke arah suara itu datang. Syaknya sesuatu musibah pasti telah menimpa Keldai Tua yang lama telah setia dengannya, dan lebih berjiwa dari Traktor yang baru tiba. Arif dengan kawasan Ladangnya sendiri, Petani sudah mengagak suara Keldai Tua datang dari perigi buta itu. Jangkaannya tepat. Keldai Tua jatuh Perigi! Perigi ini dalam rancangannya hendak dikambus sahaja, untuk mengelakkan celaka. Tapi belum sempat berbuat demikian rupa, Keldai Tua dah menjadi mangsa!
Berkaca2 Petani merenung dan melihat mata Keldai Tua memohon simpati. Seraya berkunjunglah rasa kasih dan hiba atas kecelakaan yang menimpa Keldai Tua. Betul, Keldai Tua kuat merungut, mengeluh dan membebel, tapi itu kan Keldai Tua. Keldai inilah yang dahulunya cekap membantunya bekerja, tanpa kenal penat lelah, membangunkan Ladang bersama2, setia sentiasa di saat susah dan duka. Petani sudah berkira mencari tali untuk menarik Keldai Tua keluar dari perigi buta. Tapi, entah kenapa anginnya, tiba2 ada sapaan nakal menjelma di cuping telinga;
"Kau nak tarik Keldai Tua keluar perigi ni? Dia dah tua, lagipun kan kau memang nak kambus perigi buta ni, nak buat pembangunan atasnya? Kambuskan sahaja Keldai Tua di dalam perigi, senang cerita, Keldai Tua tiada, Perigi Buta pun rata!
"Betul juga!" Bisik sendiri Petani. Petani muda, mudah benar mengikut rasa hati. Tanpa berfikir sedalam2nya, dia memanggil Orang2 Kampung untuk membantunya mengambus Perigi Buta tersebut, bersama Keldai Tua di dalamnya. Janjinya pada Orang2 Kampung;
"Kawasan rata sekitar perigi buta ni nanti akan dibangunkan taman permainan kanak2, tempat anak2 kita bersuka ria, baru senang kita nak bekerja!" Janji Petani. Ada rezeki, pasti ditepati.
Orang Kampung merenung ke dalam Perigi Buta |
Petani dan Orang2 Kampung mengambil peranan masing2, ada yang bercangkul, ada yang menggunakan skop, mencangkul, mencedok dan membuang tanah ke dalam Perigi Buta, mengambusnya sekali beserta si Keldai Tua. Terasa diperlakukan dengan kejam oleh tuannya, Keldai bertambah marah, menangis mengenangkan nasibnya ditanam hidup2 oleh tuannya, dibiar susah sebegitu, tanpa dibela.
Keldai Tua sempat lagi meninggalkan cacian makian beserta sumpahan terhadap tuannya di dinding bahagian dalam perigi buta. Dia menulis "Petani tak guna, Petani celaka, dikambusnya aku dalam Perigi Buta!" ditulis di dinding bahagian dalam Perigi Buta. "Mesti nanti ada yang baca, dan membenci Petani kerana perbuatannya," Bentaknya. Sedih, tapi puas hatilah kononnnya.
"Biar kawan2 semua tahu, biar satu dunia tahu Petani ini kejam orangnya, celaka perangainya." Tambahnya lagi. Tanah yang dibuang kedalam perigi sudah tinggi separas keting kaki.
Mengamuk sakan Keldai Tua. marah tidak terkata, sambil berteriak hingga tiada lagi air mata. Menghela nafas dalam2, kononnya nafas terakhir sebelum riwayatnya tamat dikambus bersama tanah di dalam Perigi Buta, dia tiba2 spontan bertindak mengikut akal naluri serta jiwa survivalnya yang masih bersisa.
Sekali Petani dan Orang Kampung membuang tanah ke dalam Perigi Buta, sekali itu juga Keldai Tua memanjat ke atas lapisan tanah itu, melangkah berdiri tegap di atas nya. Petani terpesona dengan kecerdikan Keldai Tua. Malah, Keldai Tua pun terpesona dengan kemampuan dirinya sendiri. Tak sangka, Keldai Tua macam dirinya masih lagi cerdik dan mampu berfikir, tak macam Petani dan rakan2 Orang Kampung tuannya itu.
Teruja, Petani menjerit;
"Keldai Tua ni masih lagi berbisa akalnya, kederat tiada, tapi cerdik masih tak kurang hebatnya, mampu dia memanjat demikian rupa, menyelamatkan dirinya!"
Petani memuji pula Keldai Tua. niat mengambus Keldai Tua hilang dan bertukar rasa gembira dan sayang pada Keldai Tua itu. Getus hatinya, tak jadi hendak menimbus Keldai Tua yang pernah menjadi sahabat setianya itu semasa masih muda remaja. Fikirnya kalau begini tua pun masih cerdik lagi, tentu berguna demi Ladang ini nanti. Petani bercadang mahu membangunkan Ladang Berpendapatan Tinggi.
"Ayuh, gunakan tanah untuk Keldai Tua berpijak naik ke atas!" Gesa Petani.
Keldai Tua terus yakin. Semakin banyak tanah di buang ke dalam Perigi Buta, semakin dia melihat jalan keluar, semakin yakin dia menapak menjauhi dasar Perigi Buta.
Akhirnya berkat tanah yang asalnya dilihat sebagai penamat riwayatnya, Keldai Tua menggunakannya pula untuk keluar dari Perigi Buta. Masalah dan musibah yang menimpa, ditukarnya menjadi peluang hidup semula dan lebih bijak memastikan kemandirian dirinya, dan pengajaran buatnya.
Petani menyesal akan terdetiknya untuk pernah berfikir mengambus Keldai Tua di dalam Perigi Buta. Usai meminta maaf pada Keldai Tua, Petani berjanji untuk memajukan Ladang bersama2 ternakannya ke arah Ladang Berpendapatan Tinggi. Kini, Keldai Tua masih berpeluang melihat dan bergurau senda bersama2 Lembu Tua Betul dan Kambing Tua Juga, bersama2 Petani membangunkan Ladang, bersama Traktor, mereka berganding ke arah memastikan Ladang Berpendapatan Tinggi. Tempat yang tidak boleh digapai Traktor, dikerjakan oleh Keldai Tua dan rakan2. Penat ternakan, Traktor mengambil tempat pula untuk sama2.
Keldai Tua tidak lagi merungut, membebel dan mengeluh sepanjang masa. Lebih rajin dan berdaya saing, peluang hidup semula itu digunakan sebaiknya, tanda terima kasih pada akal yang diberi oleh Tuhan. Bersama Petani, Traktor dan kadang2 Orang Kampung bersama rakan2 Ternakannya Ladang makin mengorak maju ke arah Ladang Berpendapatan Tinggi.
Untunglah Keldai Tua, mampu berfikir yang masalah dan musibah sekalipun mampu menjadi punca untuk Keldai2 lain berfikir dan berusaha lebih hebat dari biasa. Merebut segala ruang dan peluang, demi survivabiliti Keldai. Untunglah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan